
Laporan/foto: Nur Rezwane (Seberang Perai Utara)
KUALA MUDA, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Bagi pencinta makanan laut segar, Pasar Bisik Kuala Muda sememangnya destinasi yang wajib dikunjungi.
Di sinilah ikan, sotong, ketam dan pelbagai hasil tangkapan laut segar didaratkan terus oleh nelayan sebelum melalui proses ‘bisik-membisik’ di antara penjual dan pembeli.

Pasar Bisik tetap meriah dengan kehadiran pengunjung di bulan Ramadan.
Tinjauan wartawan Malaysia Aktif, di sini hari ini mendapati suasana di pasar ini tetap meriah meskipun dalam bulan Ramadan.
Para pembeli dari seluruh Pulau Pinang dan sekitarnya tetap setia berkunjung bagi mendapatkan bekalan makanan laut segar, menjadikan kawasan ini sentiasa hidup dengan aktiviti jual beli.
Menurut seorang nelayan tempatan, Nasir Ahmad, 58, rezeki di bulan mulia ini tetap melimpah.
“Alhamdulillah, walaupun dalam bulan puasa pelanggan tetap datang tanpa henti untuk membeli hasil tangkapan kami, ini satu rahmat besar buat kami sebagai nelayan,” katanya.

Pengunjung menanti hasil laut segar terus daripada nelayan.
Lokasi sekitar pasar bisik ini juga menjadi lokasi tumpuan bagi pemancing, pencari siput dan keluarga yang mahu menikmati keindahan pantai sambil menjamu selera dengan hidangan laut yang dimasak segar dan panas.
Lebih menarik, pasar ini terletak bertentangan dengan Pasar Kota Kuala Muda, Kedah menawarkan pemandangan indah yang memisahkan dua negeri hanya dengan sebatang sungai.
-ZS-