
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 21 Mac (MalaysiaAktif) – Para pelajar Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menzahirkan kesyukuran menerima sumbangan daripada AMS Trust dan AMS Props semalam.
Menurut Nur Amalina Jaafar, 16, beliau amat mensyukuri perhatian yang diberikan kepada mereka khasnya semasa bulan Ramadan ini.

Nur Amalina.
“Saya merasa sangat gembira kerana kami sering mendapat sumbangan dan menerima jemputan berbuka puasa di luar, sumbangan ini akan saya simpan untuk keperluan di masa depan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada AMS Trust yang memberi sumbangan yang sangat bermakna ini ,” katanya semasa ditemui Majlis Ziarah Kasih Ramadan AMS Trust dan AMS Props, di sini semalam.
Bagi seorang lagi penerima sumbangan Muhd Felzah Awang Sani, 14, sumbangan ini amat bererti baginya yang hidup berjauhan dengan keluarga.
“Saya bersyukur kerana menerima sumbangan ini dan saya akan guna sebaik-baiknya duit itu seperti untuk tujuan kecemasan dan keperluan penting yang lain,” jelasnya.

Muhd Felzah.
Pada majlis itu seramai 77 orang anak-anak yatim dan asnaf berumur 10 hingga 16 tahun menerima sumbangan yang disampaikan Pengerusi AMS Trust Azizan Mohamad Som.
Azizan dalam ucapannya, berkata aktiviti tahunan itu adalah inisiatif pihaknya dalam menghidupkan amalan dan meraikan Ramadan melalui sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik selain dapat membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.
-ZS-