
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) terus mengorak langkah dalam memperkasakan pembayaran zakat fitrah dengan memperkenalkan sistem pembayaran melalui kod QR, selaras dengan perkembangan teknologi kewangan digital.

Safwan ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN Sabah.
Pegawai Dakwah MUIS Ustaz Safwan Joas, berkata inisiatif ini bertujuan memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat tanpa perlu beratur di kaunter atau mengisi borang secara manual.
Jelasnya, sistem secara dalam talian ini akan memastikan wujudnya ketelusan dalam transaksi dan membolehkan pembayar zakat menerima rekod pembayaran secara automatik.
“Dengan adanya kemudahan pembayaran zakat melalui kod QR, umat Islam boleh menunaikan zakat mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah lebih selamat serta mengurangkan risiko kehilangan resit pembayaran.

Safwan ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN Sabah.
“Kita berharap dengan kemudahan ini, lebih ramai umat Islam akan menunaikan zakat dengan lebih mudah dan pantas, sekali gus meningkatkan jumlah kutipan zakat yang akan disalurkan kepada golongan asnaf,” katanya dalam program Influencer@JAPEN Sabah, di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS sangat menggalakkan masyarakat untuk menggunakan platform rasmi yang disediakan bagi memastikan pembayaran zakat dilakukan secara sah dan terus kepada institusi yang bertanggungjawab.
Untuk maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran zakat melalui kod QR, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MUIS atau menghubungi pejabat zakat yang berdekatan selain mengunjungi amil di kawasan masing-masing.
-RJ-