
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah
MACHANG, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Seni pembuatan wau bukan sekadar satu hobi, tetapi lambang warisan nenek moyang yang memerlukan bakat, ketekunan serta kemahiran tinggi untuk menghasilkan wau berkualiti dan bermutu.

Tan Cheng Hai sedang meraut buluh untuk membuat wau
Menurut pembuat wau, Tan Cheng Hai, 59, kemahiran menghasilkan wau yang diwarisinya sejak 12 tahun lalu amat penting dalam memastikan generasi akan datang terus mengenali dan menghargai seni budaya tradisional ini.

Proses mengukir untuk dilekatkan pada wau
“Setiap proses pembuatan wau memerlukan ketelitian, dari meraut buluh, membentuk bingkai, memasang jambul, belalai dan busur sebelum wau itu siap untuk diterbangkan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Joh, Pulai Chondong.
Tambahnya, proses menyiapkan sebuah wau boleh mengambil masa sehingga sebulan bergantung kepada jenis dan kerumitannya. Setiap wau terdiri daripada beberapa bahagian utama seperti kepala, sayap, pinggang dan ekor, manakala busur atau dengung memberikan bunyi unik ketika ia diterbangkan.
Wau Bulan merupakan jenis wau yang paling terkenal di Kelantan dan mendapat permintaan tinggi, selain variasi lain seperti Wau Puyuh, Wau Kucing, Wau Jala Budi, Wau Merak dan Wau Kikik.
“Jika dipelajari dengan minat dan kesungguhan, pembuatan wau bukan sahaja boleh menjadi warisan budaya yang terus hidup, malah berpotensi menjadi sumber pendapatan kerana wau mempunyai nilai tinggi di pasaran,” katanya.
Beliau turut berharap tradisi permainan wau dapat terus diperkasakan agar seni budaya masyarakat Melayu ini tidak pupus ditelan zaman.
-AA-