
Laporan/foto: Mohd Fauzi
GEMENCHEH, 10 Mac (MalaysiaAktif) – Wakil rakyat dan pemimpin masyarakat di Negeri Sembilan perlu membawa suara rakyat bersama jabatan dan agensi kerana Kerajaan Perpaduan sentiasa memikirkan tentang pembelaan rakyat.
“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM200 bagi warga emas berusia 70 tahun dan ke atas yang berjumlah keseluruhan untuk bantuan keceriaan ini sebanyak RM25 juta bagi tahun 2025.

Exco Kanan menyampaikan bantuan kepada asnaf dan warga emas.
“Permohonan bantuan keceriaan warga emas ini boleh dibuat melalui secara dalam talian di laman N9.digital,” kata Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Jalaluddin yang juga EXCO (Kanan) Kerajaan Negeri Sembilan itu, berkata demikian dalam Program Ihya Ramadan dan Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal/Asnaf di Masjid Sri Asahan, di sini semalam.
Pada majlis tersabut Jalal yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 kepada masjid tersebut yang dikongsi bersama dua buah surau di Sri Asahan selain menyampaikan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada 148 asnaf dan ibu tunggal serta menyumbangkan wang tunai kepada 25 orang anak-anak tahfiz.

Ashikin dan anak-anaknya.
Penerima bantuan yang juga ibu tunggal Ashikin Sulaiman, 36, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang prihatin.
“Bantuan ini dapat membantu untuk persiapan membeli pakaian hari raya anak-anak,” katanya.
Turut hadir Ahli Parlimem Tampin Datuk Mohd Isam Mohd Isa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah Veerapan Superamaniam, ADUN Gemencheh Suhaimizan Bizar dan Pegawai Daerah Tampin Mohd Fadhil Hassan.
-ZS-