
Laporan/foto: Muhd Afiqq (Selangor)
SHAH ALAM, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan disalurkan selepas Aidilfitri kepada penjawat awam Selangor.
Katanya, BKK tambahan yang diberikan susulan kerajaan negeri berjaya mencatatkan prestasi kewangan tahun lepas lebih daripada sasaran yang telah ditetapkan.

Amirudin Shari (empat kanan) bergambar ketika Majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Kakitangan Kerajaan dan Penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
“BKK sebulan gaji akan dapat pada 25 Mac ini dan yang tambahan akan dapat 15 April depan, jadi sebelum raya dapat sebulan gaji dan selepas raya dapat setengah bulan lagi.
“Insentif Khas Raya sebanyak RM250 juga diberikan kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan dengan gaji RM3,000 ke bawah,” katanya semasa berucap pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani Bersama Kakitangan Kerajaan dan Penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini semalam.
Sementara itu, Insentif Aidilfitri Kita Selangor 2025 juga turut dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya, Penggerak Belia Selangor dan petugas masjid dengan bayaran setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr. Fadzli Ahmad Tajuddin, Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Salim Soib dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin.
-ZS-