Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Penubuhan Koperasi Sekolah Latih Pelajar Berdikari

By 7 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

PADANG BESAR, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Penubuhan koperasi sekolah yang berlandaskan matlamat, jati diri dan perundangan koperasi berupaya menyediakan persekitaran sosial yang sihat dan dapat melahirkan masyarakat yang sempurna, kreatif, progresif, bertanggungjawab dan berketerampilan.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Rusli Jaafar ketika berucap di Program Pengukuhan dan Pemantapan Koperasi Sekolah Negeri Perlis 2025 di Maktab Rendah Sains MARA, Beseri, di sini semalam.

“Ciri-ciri unik yang terdapat pada gerakan koperasi sekolah berbanding kegiatan kokurikulum yang lain dijangka berupaya melahirkan pelajar sekolah yang memenuhi matlamat utama Falsafah Pendidikan Negara (FPN).

Rusli ketika berucap di program tersebut.

“Sehingga kini sebanyak 35 koperasi sekolah telah mencapai perolehan RM1 jut, angka tersebut menunjukkan biar pun berada di peringkat sekolah, namun melalui kepimpinan yang baik, koperasi sekolah boleh turut membantu meningkatkan sosioekonomi warga sekolah,” jelasnya.

Menurutnya, setakat 30 Jun 2024 sebanyak 2,499 buah koperasi sekolah telah didaftarkan di Malaysia dengan keanggotaan seramai 2.09 juta individu dan mencatatkan perolehan sebanyak RM326.58 juta

Tambah Rusli, tujuan lain penubuhan koperasi di sekolah-sekolah juga adalah untuk memajukan kepentingan sosioekonomi anggota menurut prinsip koperasi dan pada masa yang sama ia mengamalkan sikap dan amalan berjimat cermat dalam kalangan murid.

“Bagi negeri Perlis pula bilangan koperasi adalah sebanyak 33 buah dengan keanggotaan adalah seramai 26,142 orang dan perolehan yang dicatatkan oleh gerakan koperasi sekolah berjumlah RM3.43 juta dan perolehan ini secara tidak langsung menyumbang kepada pemilikan aset oleh koperasi sekolah tersebut.

Rusli menyampaikan sumbangan kepada koperasi sekolah di negeri Perlis.

“Penubuhan koperasi di sekolah juga membolehkan pelajar mengamalkan prinsip berdikari dan pengalaman mentadbir, mengurus, membuat keputusan dan memimpin khususnya kepada pemimpin-pemimpin koperasi dalam kalangan pelajar,” katanya.

Dalam program tersebut SKM turut menyampaikan sumbangan beg dan peralatan persekolahan kepada 165 orang pelajar di negeri Perlis.

“Saya berharap dengan sedikit sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang disampaikan hari ini akan dapat meringankan perbelanjaan ibu bapa,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah SKM Negeri Perlis Zaid Abu Bakar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (Sektor Pembangunan Murid) Che Rosaidi Che Yob.

-ZS-

Tinggalkan komen anda