
Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)
KUANTAN, 9 Mac (MalaysiaAktif) – Ihtisab adalah bagaimana kita mengekspresikan tauhid dengan mendidik hati mempunyai kesedaran bahawa Allah adalah penggerak dan sumber motivasi dalam setiap saat dan detik.
Menurut Qadhi Daerah Kuantan Syarifuddin Mohd Sa’ad perasaan ihtisab adalah apabila kita mengharapkan balasan daripada Allah SWT.
“Allah akan beri ganjaran kepada orang yang berpuasa dan dihapuskan dosanya disiang hari dan sebagai umat-Nya kita digalakkan untuk mengumpulkan amalan sebanyak yang mungkin,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah mengimarahkan bulan Ramadan di Wisma Persekutuan, di sini kelmarin.
Ujarnya lagi umat Islam digalakkan untuk mengejar malam lailatulqadar dan menghidupkan Ramadan sepanjang malam kerana Allah SWT telah menyiapkan syurga kepada orang yang mengerjakan amalan pada malam pertama Ramadan.
“Allah SWT akan membuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu neraka, sementara itu, syaitan-syaitan akan dirantai dalam bulan Ramadan ini untuk menghindari manusia melakukan kejahatan serta memberi peluang untuk orang yang beriman meningkatkan ibadahnya,” katanya.
Hasniza Azmi, 31, dari Jabatan Perhubungan Perusahaan Negeri Pahang, berpendapat sesi ceramah ini amat bermaafaat dan dapat mempertingkatkan pengetahuan dalam ibadah sepanjang bulan Ramadan disamping mendapat pahala kepada orang mengikuti majlis ilmu ini.
Manakala bagi Puteri Nora Megat Nadzir, 43, dan Siti Sara Mamat, 31 dari Cawangan Negeri Pusat Khidmat Kontraktor Pahang sependapat ceramah ini amat baik, diadakan dalam bulan yang mulia ini.
“Selain meningkatkan amalan ceramah ini juga dapat memberikan pencerahan yang jelas mengenai amalan-amalan yang perlu diperbanyakkan serta mengingatkan kita tentang kematian andainya ramadan ini yang terakhir betapa ruginya jika tidak direbut pada masa ini,” kata mereka.
-ZS-