
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Majlis Berbuka Puasa Madani bersama pimpinan masyarakat tempatan negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini semalam.
Anwar, berkata sempena Ramadan, pimpinan masyarakat disaran menggunakan peruntukan sendiri bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan ini.

Pimpinan masyarakat tempatan negeri Selangor yang hadir ke Majlis Berbuka Puasa Madani.
“Saranan ini peringatan kepada saya juga, jangan pakai peruntukan Jabatan Perdana Menteri dalam memberi sumbangan tetapi guna peruntukan sendiri, itu baru memaknai erti Ramadan sebenarnya.
“Setiap umat Islam khususnya pemimpin seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan menggunakan imbuhan yang diterima daripada pekerjaan yang dilakukan,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai kepentingan Ramadan sebagai madrasah untuk melatih dan memantapkan tahap integriti.

Anwar bersalaman bersama pimimpin masyarakat tempatan negeri Selangor.
“Ramadan juga mengajar kita tentang soal integriti, akhlak, moral dan nilai harus diterapkan dalam kehidupan,” katanya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, turut berharap majlis ini dapat mengukuhkan ukhuwah dan menambah kekuatan barisan pemimpin antara peringkat persekutuan dan negeri.
Terdahulu Anwar turut mengadakan menyuarat pembangunan bersama pentadbiran utama negeri Selangor dan bertemu rakyat di Bazar Ramadan Seksyen 2, semalam.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta pimpinan masyarakat tempatan negeri Selangor.
-ZS-