
Laporan/foto: Norlia Mili (Sarawak)
KUCHING, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Pengagihan bubur lambuk atau turut dikenali sebagai bubur lemak di Sarawak merupakan aktiviti bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan dan menjadi amalan oleh pelbagai pihak sama ada pada agensi kerajaan atau swasta.

Diana Lim (kiri) gembira diberi peluang merasai pengalaman memasak bubur lambur.
Lebih menarik apabila terdapat pembabitan masyarakat bukan Islam dalam aktiviti itu, sekali gus menunjukkan petanda semangat perpaduan dan kebersamaan masih kukuh di negara ini.
Pensyarah di Kolej Komuniti Kuching, Diana Lim Pen Wen, 54, berkata beliau gembira berpeluang menyertai Program Agihan Bubur Lambuk 2025 anjuran Badan Kebajikan Kakitangan Islam (BKKI) Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak.
Menurutnya, beliau bukan sahaja mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai malah turut bersama memasak juadah itu pada program yang diadakan di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, di sini.
“Ini bukan kali pertama saya menyertai program seperti ini kerana pernah juga terbabit dalam gotong-royong memasak di politeknik selain program bubur lambuk di Masjid Jamek, Kuching sebelum ini.

Sharifah Hasidah (lima dari kanan) turut menyerahkan sumbangan kepada pelajar Kolej Komuniti Kuching Nurul Zhulaikha Jumat dengan disaksikan Helmy Hamid (dua dari kiri).
“Memang seronok dapat bersama dengan rakan-rakan muslim dalam program seperti ini,” katanya yang hadir bersama ahli-ahli Kelab Sukan dan Rekreasi, Kolej Komuniti Kuching, semalam.
Sebanyak 1,200 bekas bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai dalam program tersebut.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63, Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Penerangan Sarawak Helmy Hamid.
-RJ-