Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Program Berbuka Puasa, Eratkan Hubungan Antara Agama

By 10 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Isnaniwati Ginulis/Wenny Di Tian Soh/Redolin Jeneble (Keningau)

KENINGAU, 16 Mac (MalaysiaAktif)– Ibadah Ramadan membawa pelbagai hikmah antaranya menerusi aktiviti iftar yang mampu merapatkan hubungan antara rakyat berlainan agama di samping mengukuhkan perpaduan.

Iftar atau aktiviti berbuka puasa bersama-sama komuniti setempat memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam untuk memahami amalan berpuasa selain mencerminkan keharmonian budaya di Malaysia.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yakin program seperti ini penting dalam meningkatkan kefahaman terhadap adat, budaya dan agama yang istimewa kepada kelompok masyarakat yang inklusif.

“Penglibatan penduduk bukan Islam dalam acara sebegini mampu merapatkan hubungan serta mengurangkan salah faham berkaitan isu-isu sensitif agama.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis berbuka puasa anjuran Komuniti Biah, yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam semangat kebersamaan dan keharmonian.

“Program seperti ini perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja menyebarkan nilai-nilai positif, tetapi juga membantu menyekat salah faham yang mungkin timbul mengenai agama,” katanya ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa sempena Program Jiwa@Komuniti Madani Berbuka Puasa, di Kampung Biah Tengah di sini kemarin.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook, beliau turut berkongsi pengalaman keluarganya yang berlainan agama, di mana mereka saling menghormati kepercayaan masing-masing dan menjadikan perayaan sebagai peluang untuk mengeratkan silaturahim.

“Setiap kali Hari Raya, saya akan mengunjungi rumah saudara saya yang beragama Islam sebagai tanda hormat dan ukhuwah kekeluargaan,” jelasnya.

Program anjuran Komuniti Biah ini turut diimarahkan dengan kehadiran kira-kira 200 orang jemputan daripada Sekolah Henry Gurney termasuk prospek, pegawai, dan penduduk setempat.

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya gotong-royong memasak bubur lambuk, penyampaian sumbangan bakul makanan oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan penyerahan zakat kepada 30 penerima oleh Pusat Zakat Bahagian Keningau.

-RJ-

Tinggalkan komen anda