Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Ihya’ Ramadan 2025 Tingkat Kesedaran dan Ilmu Keagamaan

By 1 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip /Mohd Maqdi Salleh (Tawau)

TAWAU, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan dan peluang bagi umat Islam untuk meningkatkan amal ibadah di samping mendidik jiwa bagi memperbaiki sahsiah diri.

Datuk Nizam merasmikan program di sini kemarin.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, melalui Program Ihya’ Ramadan, ummah berupaya untuk menambah ilmu keagamaan bersempena bulan suci umat Islam ini.

“Saya yakin bahawa program seperti ini akan memberi kesedaran serta ilmu tambahan kepada semua umat Islam, khususnya di kawasan kem tentera dan penduduk sekitarnya, mengenai kepentingan bulan Ramadan dalam kehidupan kita agar menjadi lebih baik.

Datuk Nizam menerima cenderahati daripada penganjur bersama RAMD7.

“Oleh kerana bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa di mana Allah SWT memberikan pelbagai peluang, ganjaran, pahala, rahmat, dan keampunan, maka amatlah rugi jika kita membiarkannya berlalu tanpa meningkatkan amal ibadat,” katanya ketika ditemui pada Program Ihya’ Ramadan 2025 di Masjid Nurussaadah, Kem Kabota, Tawau di sini, pada Khamis.

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, beliau menyeru masyarakat agar memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah, bersedekah, serta menyantuni golongan yang memerlukan.

“Amalan bersedekah bukan sahaja dapat meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik, malah ia juga menjadi jalan untuk meraih keberkatan dan ganjaran pahala yang berlipat ganda.

“Saya berharap agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan bukan sahaja dalam bulan Ramadan, tetapi juga sepanjang tahun agar manfaatnya dapat dirasai oleh lebih ramai pihak,”ujarnya.

Hadirin dan hadirat mengabadikan kenangan bersama di sini kemarin.

Sementara itu, Penceramah terkenal tanah air, Dato’ Ustaz Mohammad Kazim Elias menekankan bahawa nikmat Ramadan perlu dimanfaatkan sebaiknya bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga.

“Bulan ini juga merupakan peluang untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah dan kebajikan,” jelasnya.

Untuk makluman, program ini dianjurkan oleh Batalion Ke-7, Regimen Askar Melayu Diraja, Kem Kabota Tawau, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Tawau dan Pertubuhan Aspirasi Dakwah & Amal Muslim Sabah (ADAM CARE).

-RJ-

Tinggalkan komen anda