Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanLabuan

Program Ilmu dan Bakti Terap Nilai Positif Golongan Belia

By 24 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/PKKKL

LABUAN, 24 Mac (MalaysiaAktif) – Program Ilmu dan Bakti anjuran Jawatankuasa Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak WP Labuan (PKKKL) dengan kerjasama Unit Perintah Khidmat Masyarakat dan Unit Jabatan Pembangunan Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan berupaya mewujudkan sikap positif kepada peserta dengan menanam nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Bubur kacang hasil air tangan para peserta diedarkan kepada orang awam.

Menurut Pengerusi PKKKL Ahmad Radzi Abd Halim, program tersebut juga memantapkan jati diri para belia di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Program ini juga kami laksanakan bagi memberi pendidikan kepada kanak-kanak dan belia yang dikenal pasti agar tidak melibatkan diri dengan perilaku jenayah dan kesalahan yang melanggar undang-undang negara selain memberi kefahaman kepada peserta tentang tanggungjawab institusi kekeluargaan serta kemasyarakatan.

“Kami juga ingin memberi ruang kepada para peserta untuk menerapkan budaya bergaul dengan masyarakat dengan baik dan mampu menggunakan kemahiran yang diperolehi dalam kehidupan pada aktiviti melalui program yang disediakan,” katanya semasa ditemui pada program itu, di sini kelmarin.

Ahmad Radzi (dua dari kanan) menyampaikan kit makanan raya kepada salah seorang peserta program.

Jelasnya lagi, program yang melibatkan seramai 16 orang belia itu diisi dengan pelbagai aktiviti bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan.

“Para peserta telah mendengar ceramah keagamaan, kekeluargaan dan kesedaran pencegahan jenayah daripada para penceramah jemputan seterusnya bersama-sama bergotong–royong menyediakan bubur kacang untuk diedarkan kepada orang awam di sekitar Bandar Labuan.

“Sebahagian peserta turut menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dengan membersihkan Surau Al Mubarakah, Kampung Sungai Bangat,” katanya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda