Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Program Jiwa@Komuniti MADANI: Kukuhkan Cinta Al-Quran dan Ukhuwah Setempat

By 20 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto:Mohammad Amirul Dait/Maslizam Sedek (Kuala Penyu)

KUALA PENYU, 20 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Khatam al-Quran Komuniti MADANI Projek Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) Sarap Siampak diharap dapat memperkukuhkan lagi nilai-nilai keagamaan dan merapatkan ukhuwah dalam kalangan komuniti setempat.

Bersempena dengan Bulan Ramadan, aktiviti kemasyarakatan ini juga dilihat sebagai platform untuk mengukuhkan semangat cinta terhadap al-Quran dan mengamalkan nilai yang terkandung di dalamnya.

Sinawi menekankan kepentingan mengimarahkan surau dan mendekatkan generasi muda kepada al-Quran, khususnya dalam bulan Ramadan.

Pengerusi Komuniti MADANI PPMS Sarap Siampak, Sinawi Sapar berkata, program seumpamanya perlu diadakan secara konsisten sebagai usaha melahirkan sebuah institusi masyarakat yang berdaya saing dan berakhlak tinggi.

“Program seperti ini perlu diadakan secara berterusan, terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia. Ia bukan sahaja dapat mengimarahkan surau atau masjid, malah dapat mendekatkan anak-anak muda kepada al-Quran.

“Kita bukan sahaja menggalakkan pembacaan al-Quran, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat, khususnya generasi muda, untuk lebih menghargai dan mendalami isi kandungannya,”katanya ketika ditemui semasa Majlis Khatam al-Quran Komuniti MADANI di Surau Nurul Ihsan di sini pada Selasa.

Merangkap Pemaju Mukim kawasan Menumbok, beliau mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada penduduk kampung untuk memanfaatkan sebaiknya bantuan yang disalurkan kerajaan melalui e-Kasih.

“Suka saya maklumkan bahawa permohonan baharu e-Kasih kini telah dibuka di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat N33 Kuala Penyu. Bagi penduduk kampung yang berkelayakan, sila kemukakan permohonan anda secepat mungkin,” ujarnya.

Hamdan mengingatkan agar pembacaan al-Quran tidak hanya diteruskan di bulan Ramadan, tetapi juga dijadikan amalan harian.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Kuala Penyu, Hamdan Tahir menegaskan, bahawa pembacaan al-Quran perlu dibudayakan bukan sahaja dalam bulan Ramadan malah sepanjang tahun.

“Ramadan adalah bulan yang istimewa kerana padanya diturunkan al-Quran. Oleh itu, marilah kita menjadikan al-Quran sebagai teman dalam kehidupan seharian kita.

“Dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, kita dapat mengukuhkan jati diri dan membina masyarakat yang lebih harmoni serta berlandaskan nilai-nilai Islam yang murni,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda