Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program Jualan Madani Raya dengan Tawaran Diskaun 50 Peratus

By 17 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Sazarina/Mohd Nizam (Petaling)

SUNGAI BULOH, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menganjurkan Program Jualan MADANI Raya (PJMR) sempena Aidilfitri 1446H dengan tawaran penjimatan harga 30 peratus berbanding harga pasaran.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ramanan Ramakrishnan, KUSKOP yakin program seumpama ini berupaya memberi manfaat kepada masyarakat setempat dari segi penjimatan harga barangan keperluan asas harian selain memperkasakan perniagaan koperasi dan usahawan.

Penyampaian bakul makanan kepada asnaf.

“Kerajaan memahami denyut nadi rakyat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup khususnya bagi kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sehubungan itu, PJMR dianjurkan bagi membantu meringankan beban rakyat di kawasan ini menerusi insentif subsidi barangan keperluan harian semasa Ramadan dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya dalam ucapan perasmian, di sini semalam.

Ketua Komuniti MADANI Saujana Utama Zulmaidi Mat, berkata program ini memberi manfaat kepada ramai penduduk terutamanya golongan B40 yang dapat melakukan penjimatan melalui harga barangan yang ditawarkan dalam PJMR.

“Harga yang ditawarkan jauh berbeza dengan harga pasaran dan berpatutan di samping pengguna dapat melakukan persiapan raya dengan lebih berhemah melalui pembelian di program ini,” katanya.

Program PJMR ini dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sungai Buloh diadakan di Dewan MPKS Saujana Utama, Sungai Buloh selama dua hari bermula 15 Mac hingga 16 Mac 2025.

Zulmaidi Mat dalam sesi temu bual bersama Bernama.

Pelbagai jualan barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, ayam, daging, makanan sejuk beku dan barangan kering dengan harga yang berpatutan ditawarkan kepada penduduk di kawasan Sungai Buloh.

Ramanan Ramakrishnan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, turut menyumbangkan insentif harga sehingga 20 peratus disamping penjimatan 30 peratus yang disediakan melalui insentif kerajaan dan jualan happy hour menjadikan penjimatan sehingga 50 peratus kepada pengunjung yang hadir.

Penyampaian sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf komuniti Sungai Buloh dan cek cura kemudahan pembiayaan Tabung Modal Pusingan dan Geran Bantuan Pembangunan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia berjumlah RM4.01 juta kepada koperasi daripada negeri Selangor turut diadakan dalam program tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda