
Laporan/foto: Mohd Yuszairee (Hulu Selangor)
HULU BERNAM, 8 Mac (MalaysiaAktif) – Seorang usahawan muda dari Kampung Serigala Selisek membuktikan bahawa industri pertanian moden mampu menjana pendapatan lumayan.

Pengusaha Cendawan Tiram Kelabu Encik Sadiq Abdullah
Sadiq Abdullah, 41, kini berjaya meraih pendapatan sekitar RM5,000 sebulan hasil daripada usaha gigihnya dalam penanaman cendawan tiram kelabu menerusi Pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Rumah Cendawan Tiram Kelabu di Kampung Serigala Selisek
Menurut Sadiq, cendawan tiram kelabu hanya memerlukan tempoh dua bulan untuk mengeluarkan hasil, menjadikannya tanaman yang cepat memberi pulangan.
Selain itu, modal permulaan juga tidak terlalu tinggi, bergantung kepada skala pengusahaan serta pasaran dan permintaan yang stabil.
“Pada mulanya, saya hanya mencuba secara kecil-kecilan, tetapi setelah melihat potensi yang besar, saya mula serius dalam bidang ini.
“Alhamdulillah, kini saya mampu meningkatkan pendapatan keluarga dengan hasil cendawan tiram kelabu ini,” katanya.
Keistimewaan tanaman ini adalah ianya tidak memerlukan kawasan luas, bahkan boleh diusahakan di sekitar rumah sahaja.
Sadiq juga berpendapat pertanian cendawan tiram kelabu adalah satu bidang yang berbaloi diceburi, khususnya bagi mereka yang mencari alternatif untuk menjana pendapatan tambahan.
-AA-