
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Polis Diraja Malaysia
IPOH, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Suasana di Politeknik Ungku Omar (PUO), di sini gempar dengan bunyi letupan tembakan.

Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim ketika ditemu ramah rakan media.
Walau bagaimanapun, misteri tembakan tersebut terungkai apabila dimaklumkan menerusi kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa satu adegan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Eksesais Kurung 2025 (Ex Kurung 25) Latihan Anti Keganasan dan Menyelamat Tebusan, Skuadron Bravo telah dijalankan di kampus tersebut, kelmarin.
“LDP ini melibatkan 59 pegawai dan anggota 69 komando serta 15 buah asset darat termasuk udara bagi menghadapi krisis keganasan di bawah prosedur operasi standard yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara,” ujar Komander 69 Komando SAC Hamzah Hashim.
Politeknik Ungku Omar (PUO) turut memberi maklum balas dalam siaran media yang dikeluarkan di Facebook POLITEKNIK UNGKU OMAR (PUO) kelmarin berkaitan simulasi tersebut.

Antara yang telah menjayakan Ex Kurung 25 di PUO, kelmarin.
“PUO ingin memaklumkan setakat ini hanya seorang pelajar yang mengalami kecederaan ringan dan telah mendapatkan rawatan,” menurut siaran media tersebut.
Turut hadir Ketua Polis Negeri CP Datuk Noor Hisam Nordin Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, Timbalan Komander 69 Komando ACP Rosman Kasman, Pengarah PUO Dr. Shamsuri Abdullah dan Penolong Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan Negeri Perak Dr. Nadirah Roslan.
-ZS-