Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sedekah Amalan Terbaik Sepanjang Ramadan

By 25 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)/Yayasan Sultanah Bahiyah

ALOR SETAR, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Masih terdapat insan yang menganggap amalan sedekah perlu mengadakan jamuan dan memberi sesuatu yang besar, namun sebenarnya Allah SWT tidak pernah menetapkan jumlah, malahan sedekah dan jariah walaupun sebesar zarah akan dihitung di akhirat kelak.

Ustaz Yaacob Yusra mengingatkan para tetamu mengenai kebaikan bersedekah.

Demikian menurut tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Mohammad Yaakub Yusra dari Pusat Dakwah Darul Murtadha (MADAD) Sungai Petani dalam satu majlis penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri yang telah dianjurkan oleh Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) bersama 400 orang penerima sumbangan di Star City Hotel, di sini semalam.

Amalan bersedekah amat digalakkan terutamanya dalam bulan Ramadan kerana dalam bulan mulia ini setiap kebaikan yang dilakukan akan mendapat pahala berlipat kali ganda.

Tidak terkecuali, pihak pengurusan YSB turut mengambil peluang keberkatan bulan mulia ini untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan agar dapat bersama-sama membuat persiapan menyambut aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Tuanku Hajah Haminah Haji Hamidun, Che Puan Besar Kedah telah berkenan mengurniakan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dan turut disertai dengan kehadiran Datin Seri DiRaja Puan Sri Dato’ Nora Abdullah, Toh Puan Bendahara Kedah dan Yang Teramat Mulia Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Tunku Temenggong Kedah selaku Pengerusi YSB.

Suasana sepanjang majlis yang diadakan semalam di Star City Hotel, Alor Setar.

Menurut Pegawai Tugas-tugas Khas YSB Ain Amelia Azizan, pada tahun ini sebanyak RM70 ribu dana sumbangan telah disalurkan kepada 440 orang penerima termasuk 100 orang murid sekolah rendah, 100 orang murid sekolah menengah dan 240 keluarga asnaf dari daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pendang.

“Sumbangan tersebut merupakan hasil inisiatif YSB dengan kerjasama beberapa syarikat penyumbang antaranya THB Maintenance Sdn. Bhd., Bina Darulaman Berhad, Aafiyat Holding Berhad, Gas Malaysia Berhad dan MMC Corporation Berhad,” ujarnya

-ZS-

Tinggalkan komen anda