Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Selangor Sentiasa Usaha Perkasa Ekonomi Wanita

By 17 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Kerajaan Selangor sentiasa berusaha meningkatkan pendapatan golongan wanita di negeri berkenaan menerusi program mesra keluarga serta menyokong wanita dalam bidang ekonomi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari, berkata usaha tersebut penting bagi memastikan wanita dapat mengejar aspirasi tanpa halangan budaya dan sosial.

Anfaal menyampaikan sumbangan kepada salah seorang anak ANIS.

“Kerajaan Negeri telah merangka Dasar Wanita Selangor 2024-2026, termasuk inisiatif seperti aturan pekerjaan anjal dan insentif kembali bekerja bagi menggalakkan lebih ramai wanita kekal dalam pasaran buruh.

“Melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS), kerajaan memperkenalkan program Pusat Wanita Berdaya (PWB) untuk membina kapasiti wanita dalam komuniti serta memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2025 Peringkat Negeri Selangor di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Faridah Samad dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.

Selain itu, Anfaal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, berkata kerajaan negeri telah melancarkan Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (USAHAWANITA).

Penyampaian sumbangan kepada ibu tunggal dan anak yatim.

“Tahun ini merupakan kohort kedua bertujuan menggalakkan wanita menceburi bidang keusahawanan secara digital.

“Justeru, membolehkan mereka menjana pendapatan secara berkesan dan mampan,” ujarnya.

Sambutan yang dihadiri 600 orang bertemakan ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’ bertujuan mengiktiraf peranan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

Turut diadakan penyampaian sumbangan kepada lebih 300 orang penerima di kalangan ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan Anak Istimewa Selangor (ANIS).

-ZS-

Tinggalkan komen anda