
Laporan / Foto : Sophia Aren Erik / Mohammad Nazeri Arif (Sarawak)
TATAU, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Tatau lebih memfokuskan Chatbot AIFA dalam Program Sembang Santai bersama Komuniti MADANI Sungai Gemuan di Pekan Lama Tatau hari ini.

Donny (kiri) membimbing dua orang Komuniti MADANI cara menggunakan Chatbot AIFA melalui aplikasi WhatsApp.
Pegawai Penerangan Daerah Tatau, Donny Minggu Ling menekankan bahawa pentingnya kesedaran dalam diri agar tidak terus mempercayai sebarang berita yang sedang tular.
Katanya, adalah perlu menyemak dahulu berita tersebut sama ada tepat atau palsu.

Milia Unjah, (kiri) ketika mencuba menyemak satu isu menggunakan Chatbot AIFA dalam aplikasi WhatsApp.
Salah seorang ahli Komuniti MADANI Sungai Gemuan yang ditemui, Milia Unjah, 44, berkata, bukan mudah bagi golongan yang sudah berumur seperti mereka untuk mengadaptasi pengetahuan menggunakan teknologi digital sebegitu.
“Walaupun Chatbot AIFA ini hanya menggunakan WhatsApp untuk membuat semakan, tetapi ia seakan-akan memberikan cabaran jika tidak mahir menggunakan aplikasi ini dan oleh itu, saya rasa penting bagi setiap peringkat umur untuk mengasah kemahiran dalam IT sebagai tanda persiapan diri kita ke arah era digital yang lebih maju,” ujar Milia.
Chatbot AIFA merupakan inisiatif Kerajaan MADANI untuk memerangi penyebaran maklumat palsu dan platform untuk rakyat menyemak kesahihan berita secara dalam talian. Ia telah dilancarkan pada 28 Januari 2025 yang lepas.
JAPEN Daerah Tatau menitipkan tanggungjawab kepada Komuniti MADANI untuk menyebarluaskan penggunaan Chatbot AIFA kepada masyarakat setempat supaya mereka tidak mudah terpengaruh dan mempercayai berita palsu yang tular dengan sewenang-wenangnya.
-RJ-