Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sewa Murah, MyKiosk KPKT Bantu Rakyat Jana Pendapatan Sampingan

By 3 Mac 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Ranau)

RANAU, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, deretan premis MyKiosk yang disediakan di bawah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini beroperasi dan menjadi sumber pendapatan penduduk di Kundasang.

Seawal jam 7.30 pagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ini mula beroperasi menyapa pengunjung yang datang ke Pekan Kundasang terutama para pelancong luar dengan menawarkan pelbagai produk makanan tempatan, minuman dan buah-buahan segar.

Ibrahim menyiapkan pesanan air panas untuk pelanggan di MyKiosk.

Pasangan suami isteri warga emas, Ibrahim Jalil, 61, dan Noriah Omar, 59, antara peniaga MyKiosk yang ditemui berkata, mereka mula berniaga sejak bulan Ogos tahun lalu dengan kadar bayaran sewa bulanan yang berpatutan.

Menurut Ibrahim, selain ingin menambah pendapatan beliau mahu memenuhi hasrat isterinya untuk kembali berniaga selepas berehat seketika daripada menjual kuih muih akibat masalah kesihatan.

“Selepas isteri saya sakit, kami berhenti seketika daripada menjual kuih muih dan selepas itu ada makluman daripada pihak Majlis Daerah bahawa ada permohonan dibuka untuk MyKiosk, kami ambil keputusan untuk memohon dan alhamdulillah permohonan kami berjaya.

“Bayaran sewa sangat berpatutan dan mampu di bayar dengan hasil jualan buah-buahan potong, makanan, minuman panas di MyKiosk ini, dapatlah kami menampung perbelanjaan harian di rumah. Aktiviti seperti ini juga penting untuk kami warga emas kekal aktif dan bersosial,” katanya ketika ditemui di MyKiosk di sini pada Ahad.

Sementara itu, Noriah percaya, inisiatif seperti MyKiosk sangat membantu golongan B40 atau penerima e-kasih untuk memulakan perniagaan dengan kos yang rendah selain menyediakan kemudahan premis yang selesa.

Deretan MyKiosk di Pekan Kundasang menghadap Gunung Kinabalu.

“MyKiosk ini sangat sesuai untuk peniaga warga emas seperti kami ini, sebagai pesakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis, saya tidak perlu banyak bergerak dan kiosk ini senang untuk dijaga.

“Kebaikan lain dia peniaga tidak perlu lagi angkat barang jualan sebab semuanya di simpan dengan selamat di dalam kiosk ini, datang sahaja awal pagi buka kedai, susun-susun barang dan tunggu orang beli, kebanyakannya pelanconglah yang datang membeli,” ujarnya.

Untuk makluman, setakat Disember tahun 2024, sebanyak 7,243 MyKiosk melibatkan 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diluluskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).

-RJ-

Tinggalkan komen anda