
Laporan/foto: Syaiful SAS/Sh. Nurrul (Rompin)
ROMPIN, 19 Mac (MalaysiaAktif) – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar menekankan kepentingan menghayati serta mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian.

KDPB Sultan Pahang perkenan menandatangani plak perasmian dan pemasyhuran masjid
Demikian titah baginda sewaktu berkenan merasmikan masjid baharu di daerah ini sempena Sambutan Nuzul Al-Quran, Bacaan Yassin dan Tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar serta Perasmian Masjid Baharu Kampung Sungai Puteri, di sini, semalam.

Antara tetamu yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Nuzul Quran 1446H dan Perasmian Masjid Baharu Kg. Sungai Puteri serta Bacaan Yassin dan Tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sulktan Abu Bakar
“Sesungguhnya, Al-Quran itu cahaya dan juga syifa’ (penawar) bagi segala penyakit hati, pedoman bagi mereka yang mencari kebenaran, serta pemisah antara yang hak dan batil,” titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap cabaran akidah yang dihadapi oleh umat Islam pada masa kini dan menyeru masyarakat untuk berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar.
“Jika generasi kita tidak berpegang teguh kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah, kita akan tenggelam dalam arus globalisasi yang boleh menghakis nilai-nilai Islam yang sebenar.
“Oleh itu, marilah kita memahami hakikat bahawa hanya generasi yang dibentuk dan dididik dengan semangat Al-Quran akan menjadi umat Islam yang unggul,” titah Baginda lagi.
Keberangkatan tiba Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersama anakanda putera dan puteri serta penduduk setempat yang begitu teruja menyambut ketibaan Baginda sekeluarga.
Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, barisan kepimpinan negeri serta pegawai-pegawai kerajaan.
-AA-