
Laporan/foto: Fatihayatul Sadi/Shuhaimi Ahmad
KUALA TERENGGANU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Keprihatinan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin terhadap rakyat jelata terserlah apabila baginda berkenan mengurniakan sumbangan kepada fakir miskin, pelajar sekolah dan pesara dalam satu majlis penuh bermakna di Istana Syarqiyyah, hari ini.
Majlis Pengurniaan Bantuan kepada Fakir Miskin dan Pelajar Sekolah yang dianjurkan oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) sempena Aidilfitri 1446 Hijrah ini bertujuan meringankan beban golongan yang memerlukan.

Penerima sumbangan Zakaria dari Kampung Kuala Besut.
Turut berangkat menyampaikan sumbangan ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.
Lebih 500 penerima mendapat manfaat daripada inisiatif ini, termasuk 200 fakir miskin, 240 pelajar sekolah, 30 pelajar madrasah dan 56 pesara pelbagai agensi.
Setiap fakir miskin menerima wang tunai RM500 dan hamper keperluan harian bernilai RM250, manakala pelajar sekolah pula menerima RM250 seorang. Secara keseluruhan, YDSM memperuntukkan sebanyak RM277,500 untuk bantuan tahun ini.
Menambah keistimewaan majlis, Yayasan Nur Zahirah (YTNZ) turut menghulurkan bantuan kepada 300 fakir miskin wanita, khususnya pengusaha dan penenun songket, dalam usaha memperkasa ekonomi golongan tersebut.
Seorang penerima, Zakaria Mahmud, 63, dari Kampung Kuala Besut, meluahkan rasa syukur kerana terpilih menerima sumbangan ini. Baginya, bantuan ini sangat bermakna dalam persiapan menyambut Aidilfitri.

Sebahagian penerima kurniaan sumbangan daripada Sultan Terengganu di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
“Sebagai orang kampung yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sumbangan ini amat membantu saya membeli keperluan anak-anak,” katanya penuh syukur.
Bagi Aira Farisha, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Tembusu, pengalaman menerima bantuan buat kali pertama ini memberikan kegembiraan berganda.
“Saya rasa sangat teruja kerana dipilih menerima bantuan ini. Raya tahun ini pasti lebih bermakna,” katanya.
Majlis penuh keberkatan ini bukan sahaja meringankan beban penerima tetapi turut mengeratkan hubungan antara institusi diraja dan rakyat, mencerminkan kepedulian Sultan Terengganu dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
-ZS-