
Laporan/ foto: Isnaniwati Ginulis/Priscilla Walter (Keningau)
KENINGAU, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan dalam menjalani ibadah puasa, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor turun padang menghulurkan bantuan.
Inisiatif murni tersebut menyasarkan agihan sekitar 40 bakul makanan kepada penerima yang telah dikenalpasti terdiri daripada golongan fakir miskin, warga emas dan ibu tunggal daripada komuniti setempat.

Suasana majlis berbuka puasa di Dewan Kampung Merampong, Keningau.
Seorang penerima ibu tunggal, Norati Gimbok, 47, berkata bantuan itu sangat membantu di kala keluarganya kehilangan sumber pendapatan sejak suaminya jatuh sakit.
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan ini, bantuan seperti ini sangat bermakna terutama dalam menghadapi bulan Ramadan dan meringankan beban demi menyara lima anak saya yang masih bersekolah.
“Sumbangan bakul makanan ini menunjukkan keprihatinan DUN Bingkor kepada golongan yang memerlukan, sekurang-kurangnya boleh membantu menampung keperluan keluarga saya untuk beberapa ketika,” katanya ketika ditemui dalam Program Jiwa@Komuniti Madani di Dewan Kg. Merampong di sini hari ini.
Untuk makluman, program anjuran Komuniti madani Kampung Merampong tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik.
Selain menyampaikan bantuan bakul makanan, beliau turut berkesempatan mengagihkan 1000 bubur lambuk yang disediakan bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Merampong, Keningau.
Sebagai pengisian, majlis berbuka puasa yang dianjurkan bersempena program tersebut turut diisi dengan ceramah berkaitan bahaya dadah, disampaikan Ketua Unit Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Keningau, Sazaki Mohd Zin.
-RJ-