
Laporan/foto: Isnaniwati Ginulis/Priscilla Walter (Keningau)
KENINGAU, 25 Mac (MalaysiaAktif) – Penggunaan Chatbot Artificial Intelligence Fact Check Assistant (AIFA) perlu diberi penekanan terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar bagi mengurangkan risiko penyebaran berita palsu.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Ritting, Nohayati Abdullah, berkata kepesatan era digital menjadi satu cabaran dalam memastikan kesahihan sesuatu maklumat yang diterima masyarakat.

Awang Mamun menegaskan peranan Komuniti MADANI dalam memperkasa masyarakat dengan maklumat yang sahih dan terkini bagi menangkis penyebaran berita palsu.
Tegasnya, penggunaan AIFA perlu sentiasa diingatkan kepada penduduk di kawasan luar bandar terutama berkenaan program, inisiatif serta bantuan yang diperkenalkan kerajaan.
“Berita palsu boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat dan dengan adanya AIFA, kita dapat memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat dan berasas.
“Setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menyaring maklumat yang diterima dan memastikan ia sahih sebelum menyebarkannya kepada orang lain,” katanya ketika ditemui dalam program berbuka puasa sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI anjuran Komuniti MADANI DI Masjid Ukhuwah, Apin-Apin di sini pada Ahad.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Keningau Awang Mamun Awang Saman menegaskan, Pejabat Penerangan Daerah Keningau sentiasa memperkasa ahli Komuniti MADANI dengan maklumat yang sahih dan terkini.
“Selaras dengan objektif penubuhan Komuniti Madani sebagai agen penyebar maklumat yang tepat, usaha ini dapat membantu menangkis berita palsu dalam masyarakat,” ujarnya.

Suasana program Jiwa@Komuniti MADANI di di Masjid Ukhuwah, Apin-Apin, Keningau.
Program anjuran Komuniti MADANI Kampung Ritting disertai 65 orang penduduk kampung itu turut menyaksikan penyerahan 50 bakul makanan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan, termasuk penduduk bukan Islam.
Selain itu, penyampaian sumbangan oleh Pusat Zakat Cawangan Keningau dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Liawan sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan untuk masyarakat setempat.
-RJ-