
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga bazar Ramadan di negeri ini yang tidak mematuhi peraturan sepanjang tempoh bulan Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Jafni Md Shukor, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan KPDN berhak untuk membuat pemeriksaan premis dan sampel makanan bagi memastikan makanan dan minuman yang dijual itu benar-benar selamat untuk dimakan.
“Jika terdapat pelanggaran syarat, pengguna boleh menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing dan pihak berkuasa akan menjalankan siasatan selanjutnya berdasarkan aduan yang dibuat.

Jafni turut beramah mesra dengan pengunjung bazar yang membeli juadah untuk berbuka puasa.
“Pemeriksaan ini juga bagi memastikan peniaga turut mempamerkan tanda harga jualan mengikut Akta Makanan 1983 dan Akta Pencatutan dan Kawalan Harga,” katanya selepas melakukan tinjauan di tapak bazar Ramadan Bandar Baru Uda, di sini kelmarin.
Sementara itu, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 200 lokasi bazar Ramadan dan 28 lokasi bazar Aidilfitri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Untuk bazar Ramadan, kita telah luluskan sebanyak hampir 11,202 petak niaga manakala bazar Aidilfitri pula sebanyak 1,555 petak niaga untuk tahun ini,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin Mohd Hairi Md Shah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Datuk Mohd Haffiz Haji Ahmad.
-ZS-