
Laporan/foto: Al Hakim Noordin (Hulu Selangor)
HULU SELANGOR, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Program Kacau Dodol Sekampung anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jawa telah berjaya menyatupadukan penduduk Kampung tersebut.

Belia kampung turut serta mengacau dodol menjadikan program ini cukup meriah.
Kira-kira 150 orang penduduk Kampung Jawa tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam program ini yang diadakan di Balai Raya Kampung Jawa, Kerling, di sini kelmarin.
Menurut Ketua Kampung Meesran Mohd Noh, program ini diadakan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.
“Program ini merupakan tradisi kampung kami, bergotong-royong mengacau dodol bersama masyarakat setempat setiap kali bulan Ramadan.

Dodol yang hampir siap dimasak oleh penduduk Kampung Jawa, Kerling.
”Walaupun duduk sekampung, kesibukan menjalankan tugas seharian menyebabkan sebahagian penduduk jarang bersua muka antara satu sama lain dan inilah saatnya untuk bersua muka sesama,” ujarnya.
Sementara itu salah seorang penduduk, Deroman Yasok, 45, berharap program sebegini diharapkan menjadi amalan berterusan kerana dapat memperkukuh ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
-ZS-