
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
TANAH MERAH, 30 Mac (MalaysiaAktif) – Para pelajar di negara ini disarankan untuk mengamalkan budaya dan transformasi pendidikan yang berkesan bagi melahirkan generasi cemerlang.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, menekankan kepentingan transformasi dalam sistem pendidikan bagi memastikan pelajar dapat belajar dengan tenang dan hadir ke sekolah dengan semangat yang tinggi.

Fadlina Sidek sedang menyampaikan ucapan
“Dengan konsep Transformasi Pendidikan Madani yang kita amalkan serta peruntukan yang disalurkan, pelajar pasti akan berjaya dengan cemerlang,” katanya ketika berucap dalam Program Santuni Madani Aidilfitri Komuniti yang berlangsung di Dataran Kopakat, Kampung Padang Siam, Tanah Merah, petang kelmarin
Beliau turut menegaskan bahawa prinsip Rukun Madani, khususnya Rukun Ihsan, menjadi teras dalam memastikan pelajar hadir ke sekolah dengan ceria setelah menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Datuk Seri Supardi Mohd Nor berucap di majlis tersebut
Sementara itu, Pengerusi Getah Malaysia (MRC) merangkap Penasihat Komuniti Madani Daerah Tanah Merah, Datuk Seri Supardi Mohd Nor, dalam ucapan aluannya menyambut baik pelaksanaan Transformasi Madani di bawah Kementerian Pendidikan yang menekankan nilai-nilai murni dalam pendidikan.
“Dari pembinaan ihsan, maka lahirlah sikap dan sifat ihsan yang terpuji. Ini menggambarkan kejayaan masyarakat madani yang kita impikan,” katanya.
Program yang berlangsung petang ini dihadiri lebih 500 orang, termasuk ahli komuniti madani daerah, ketua-ketua jabatan, pemimpin masyarakat, serta orang ramai.
Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, Muhd Nor Aswadi Md Nor, dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah.