
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 6 Mac (MalaysiaAktif) – Zoo Negara meneruskan tradisi tahunan program memasak dan mengagihkan 1,200 bekas juadah bubur lambuk dalam program yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini hari ini.

Para pekerja Zoo Negara sedang bergotong royong memasak bubur lambuk.
Program bertemakan ‘Sinar Ramadan – Kongsi Rezeki’ itu dijayakan hasil kolaborasi bersama Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. dan 99 Speed Mart Sdn. Bhd.
Zoo Negara menerusi satu kenyataan memaklumkan program memasak secara bergotong royong sempena Ramadan bagi mengeratkan ukhuwah dalam kalangan pekerja dan penajanya.
“Warga kerja Zoo Negara dan wakil dari pihak penaja saling berganding bahu menyiapkan sebelum diagihkan secara berperingkat kepada seluruh kakitangan yang bertugas.

Bubur lambuk telah siap sebelum diagihkan kepada kakitangan Zoo Negara, pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan masjid dan surau.
“Juadah bubur lambuk ini juga akan diagihkan ke pusat tahfiz, pertubuhan kebajikan, surau dan masjid berhampiran,” menurut kenyataan berkenaan.
Jelas kenyataan itu, selain bubur lambuk ayam dan bubur lambuk daging, program kali ini turut menampilkan menu tambahan iaitu bubur lambuk rusa, sup rusa dan bubur jagung.
Turut hadir Presiden Zoo Negara Datuk Sr. Zaharin Md Arif, Pengurus Promosi dan Media Korporat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. Roshidi Zabidi serta Pengurus Operasi Cawangan 99 Speed Mart Sdn. Bhd. Mohamad Hafizan Zainal Abidin.
-ZS-