
Laporan/foto: Wan Shahilawati Wan Baharuddin
KOTA BHARU, 23 April (MalaysiaAktif) – Tepat jam 11.00 pagi, suasana di Sekolah Menengah Raja Sakti bertukar sunyi seketika apabila pelajar tingkatan Lima Azaleeya (Aliran Sains) meluangkan masa selama 10 minit untuk membaca buku pilihan masing-masing.

Guru Bahasa Melayu SMK Raja Sakti Wan Azizah Wan Ahamad
Program yang bertemakan Nikmati Saat Ini merupakan inisiatif Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan dilaksanakan secara serentak di seluruh negara.
Ia bertujuan menyemarakkan budaya membaca dan menjadikan amalan membaca sebagai satu gaya hidup dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ketua kelas tingkatan Lima Azaleeya, Nur Ain Fitriyah Mohd Roshedi duduk dari kanan bersama rakan-rakan sekelas
Guru Bahasa Melayu SMK Raja Sakti, Wan Azizah Wan Ahmad, 52, menyifatkan program ini sebagai langkah bermakna dalam usaha menyemai minat membaca dalam kalangan pelajar.
“Saya berhenti mengajar seketika dan mengajak pelajar membaca apa sahaja bentuk bahan bacaan yang mereka gemari. Walaupun hanya 10 minit, ia cukup untuk memulakan langkah kecil ke arah pembudayaan ilmu,” katanya.
Bagi Nur Ain Fitriyah Mohd Roshedi, 17, ketua kelas tingkatan Lima Azaleeya, inisiatif ini memberi inspirasi dan boleh dijadikan tabiat yang positif.
“Sepuluh minit mungkin nampak singkat, tetapi jika diamalkan setiap hari, ia mampu membina minat membaca yang konsisten,” ujarnya dengan yakin.
Program ini turut mendapat sambutan hangat daripada guru dan pelajar, sekali gus memperlihatkan komitmen warga sekolah dalam menyahut seruan memperkasa budaya membaca dalam masyarakat.
-AA-