Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

109 Peserta Sertai MTHQK 2025 di Perlis

By 1 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 11 Apr (MalaysiaAktif) – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru dan menjemput orang ramai hadir menyaksikan dan memeriahkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1446H/2025M 2025 yang akan berlangsung selama enam hari bermula pada 27 April hingga 2 Mei ini di negeri Perlis.

MTHQK yang diadakan di Dewan 2020, di sini dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malamĀ akan melibatkan penyertaan seramai 109 peserta daripada seluruh negara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar penganjuran MTHQK tahun ini adalah kali yang ke-67 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960.

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia (YaPEIM) berbesar hati untuk menaja hadiah (tambahan) kepada johan setiap Kategori Tilawah dan Hafazan berupa satu dinar emas YAPEIM Gold berjumlah keseluruhan RM16,000.

“Program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri dan pada tahun ini negeri Perlis telah dipilih menjadi tuan rumah peringkat kebangsaan.

“Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan peserta iaitu dua peserta dalam pertandingan Tilawah Al-Quran manakala enam peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran,” ujarnya.

Mohd Na’im berkata demikian ketika berucap di Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2025M di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri, di sini semalam.

Jelasnnya lagi, penganjuran kali ini lebih istimewa kerana ia dianjurkan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Majlis Perasmian MTHQK 2025 akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 April (Ahad) pukul 9.00 malam di Dewan 2020 dan Majlis Penutup dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis pada 2 Mei pukul 9.00 malam.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan pada tahun ini menjadikan jumlah peserta tilawah sebanyak 28 orang; iaitu 14 orang qari dan 14 orang qariahĀ dan peserta Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 81 orang peserta.

Penganjuran MTHQK 2025 ini selaras dengan nilai MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan umat melalui pengukuhan ilmu, pemerkasaan perpaduan dan kepimpinan yang berwibawa.

-ZS-

Tinggalkan komen anda