
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SUBANG JAYA, 8 Apr (MalaysiaAktif) – Sebanyak 200 buah kenderaan sewa disediakan untuk kegunaan mangsa insiden kebakaran salur paip gas di Putra Heights secara percuma dalam tempoh sebulan.

Ng Sze Han menyampaikan kunci kereta kepada seorang mangsa kebakaran paip gas ketika penyerahan bantuan 30 buah kereta sementara daripada Tan Chong Group di Stesen LRT Putra Heights, Subang Jaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, berkata keseluruhan sebanyak 140 buah kenderaan telah diagihkan kepada mangsa dan baki 60 buah kenderaan akan diagihkan pada minggu ini.
“Sebanyak lima syarikat automatif tampil menawarkan pelbagai jenis model dan jenama buat keluarga mangsa yang kenderaan musnah atau rosak akibat insiden ini.
“Kerajaaan negeri Selangor mengucapkan terima kasih kepada syarikat yang memberi sumbangan antaranya dari Syarikat Chery, Carsome, Carro, Tan Chong Group dan EON,” katanya.
Terdahulu, Sze Han menyerahkan 30 kunci kenderaan sumbangan Tan Chong Group kepada mangsa di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights, di sini pagi tadi.

Ng Sze Han menyampaikan kunci kereta kepada seorang mangsa kebakaran paip gas ketika penyerahan bantuan 30 buah kereta sementara daripada Tan Chong Group di Stesen LRT Putra Heights, Subang Jaya.
Sementara itu, salah seorang mangsa Vinayagam, 55, berterima kasih kepada syarikat Tan Chong yang prihatin memberi pinjaman kereta kepadanya.
“Saya hanya ada sebuah kereta dan ianya terbakar hampir 30 peratus serta mengambil masa untuk dibaiki,” katanya yang masih trauma dalam insiden kebakaran salur paip gas di Putra Heights, Selasa lalu.
-ZS-