
Oleh Mohammad Subuh Jamali / Mohd Azizi Zamri
SIMUNJAN, 24 Apr (MalaysiaAktif)– Seramai 30 individu telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis atau Kaunselor Majlis Daerah Simunjan bagi tempoh perkhidmatan selama tiga tahun bermula semalam.

Datuk Dr. Penguang Manggil (tiga dari kiri) bersama kaunselor baharu selepas majlis semalam.
Majlis angkat sumpah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr. Penguang Manggil, dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Simunjan.
Antara yang dilantik ialah Kamaludin Boje, 67, dari Kampung Nanas, yang meluahkan rasa syukur dan terharu kerana diberi peluang untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.
“Inilah peluang bagi saya untuk membantu rakyat di kawasan ini. Saya berasa hiba dan gembira kerana dapat berbakti kepada Simunjan,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Kaunselor baharu menandatangani surat lantikan dalam majlis rasmi pelantikan Ahli Majlis Daerah Simunjan.
Seorang lagi kaunselor baharu, Yusuf Suoot, 65, dari Kampung Sageng, turut menyatakan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan menyumbang kepada pembangunan daerah.
“Saya berjanji akan membantu kerajaan dalam memastikan kemajuan infrastruktur di Simunjan terus dipertingkatkan,” katanya.
Pelantikan para kaunselor ini adalah penting dalam memastikan urusan pengurusan dan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan berjalan lancar serta memenuhi aspirasi pembangunan negeri.
-RJ-