
Laporan/foto: Ag Yasri Ag Ismail/Mohd Deri Nareh (Tuaran)
TUARAN, 23 Apr (MalaysiaAktif) – Seramai lebih 500 peserta dari seluruh daerah Tuaran telah bersama-sama menjayakan penanaman serentak sebanyak 8,800 anak pokok Liposu (Baccaurea lanceolata) sempena Sambutan Hari Bumi 2025 yang berlangsung di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Melanggang, Kiulu pada Selasa.

Wakil PPD Tuaran terima sijil Malaysia Book of Records atas kejayaan 85 sekolah tanam 8,800 anak pokok Liposu serentak semalam..
Program yang bertemakan “Our Power, Our Planet” ini merupakan sebahagian daripada sokongan kepada Kempen Penanaman 100 Juta Pokok bagi tempoh 2021 hingga 2025. Ia turut melibatkan penyertaan daripada 85 buah sekolah seluruh daerah Tuaran, sekali gus mencipta dua rekod baharu dalam Malaysia Book of Records.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii, yang menyeru masyarakat agar menjadikan sambutan Hari Bumi sebagai platform untuk menyemai semangat cintakan alam sekitar, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Tindakan kecil seperti menanam pokok, mengurangkan penggunaan plastik, dan menjaga sungai mampu memberi impak besar kepada masa depan bumi yang kita cintai,” ujar beliau dalam ucapannya.

Liana berharap sungai terus terpelihara dan masyarakat kekal menyokong usaha melestarikan alam demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran merangkap Pengerusi Pelaksana Sambutan, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, serta Pegawai Daerah Tuaran, Herman Tunggiging.
Seorang peserta, Liana Bandas, 67, berharap masyarakat terus berganding bahu dengan kerajaan dalam menjaga alam sekitar, terutamanya kebersihan sungai yang menjadi tarikan pelancongan utama di Kiulu.
“Saya menyokong usaha penanaman pokok Liposu di sepanjang sungai kerana ia dapat mencegah hakisan dan memelihara ekosistem semula jadi,” katanya penuh harapan.

Ethan teruja sertai program Hari Bumi yang beri ilmu alam sekitar dan pengalaman kuiz interaktif.
Manakala peserta cilik, Ethan Lorn Elme, pelajar Tahun 6 dari SK Melanggang, turut berkongsi rasa teruja menyertai program ini.
“Saya sangat gembira dapat belajar tentang penjagaan alam sekitar dan berjaya menjawab kuiz yang diadakan. Program ini sangat menarik dan membuatkan saya lebih sayang kepada alam sekitar,” katanya ceria.
Sambutan ini memperlihatkan komitmen padu antara masyarakat, pelajar, dan pihak berkuasa dalam usaha melestarikan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
-RJ-