Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Agong Berkenan Lawat Tapak Insiden Kebakaran Paip Gas

By 5 April 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Luqman Hakim (Shah Alam)

PUTRA HEIGHTS, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mencemar duli melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi meninjau sendiri kesan kebakaran paip gas, di sini hari ini.

Baginda yang memandu sendiri Proton Satria Neo R3 tiba pada pukul 9.40 pagi disambut oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menteri Besar Selangor Mengiringi Yang Di-Pertuan Agong ke Kawasan Perumahan yang terjejas akibat kebakaran

Sultan Ibrahim seterusnya mendengar taklimat khas yang disampaikan Menteri Besar Selangor di PKTK selain mendengar penerangan terperinci mengenai punca kejadian, kesan terhadap penduduk setempat serta langkah pemulihan yang sedang dan akan diambil oleh pihak berkuasa.

Selesai taklimat, baginda diiringi Menteri Besar Selangor memasuki kawasan perumahan di Putra Heights yang terjejas.

Di sini, baginda meninjau sendiri keadaan rumah-rumah yang rosak akibat letupan dan kebakaran serta melihat kerja-kerja pemulihan yang sedang dijalankan.

Baginda turut meluangkan masa mendengar rintihan dan luahan hati penduduk yang terkesan.

Dalam sesi ini, mangsa menyuarakan kebimbangan mereka mengenai keselamatan, keperluan tempat tinggal sementara, serta bantuan yang diperlukan bagi membina semula kehidupan.

Baginda menzahirkan rasa simpati dan menegaskan bahawa kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan.

Yang Di-Pertuan Agong meninggalkan lokasi PKTK pada pukul 10.15 pagi dan meneruskan lawatan baginda ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Masjid Putra Heights.

-ZS-

Tinggalkan komen anda