
Laporan/Foto: Abdul Hadi Abdul Ghani / Asrul Affandi Saplie @ Awang Safre (Semporna)
SEMPORNA, 22 Apr (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat luar bandar kembali terserlah menerusi penganjuran Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Komuniti MADANI yang berlangsung di Kampung Mentaritip, di sini.

Abdul Azis tekankan pentingnya perpaduan dan kerjasama dalam komuniti.
Majlis tersebut menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang, menjadikannya satu platform penting untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
Wakil Pegawai Daerah Semporna, Abdul Azis Bool berkata, penganjuran program seperti ini jelas menunjukkan peranan pusat komuniti sebagai lambang perpaduan dan titik pertemuan masyarakat luar bandar.
“Saya sangat gembira berada di sini hari ini. Majlis Hari Raya terbuka seperti ini amat penting kerana ia menjadi tempat pertemuan pelbagai komuniti. Di sini, kita dapat merasai suasana yang selesa dan penuh penerimaan.
Harapan saya ialah agar semangat bersatu hati dan kerjasama ini terus diperkukuhkan demi kemajuan bersama,” ujarnya ketika merasmikan majlis tersebut di Dewan MADANI Kampung Mentaritip pada Ahad.

Mohamma Syah perkenal AIFA untuk tangani maklumat palsu dan SARA melalui MyKad bagi mudahkan bantuan rakyat.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Semporna, Mohamma Syah Kisun menjelaskan bahawa sambutan Aidilfitri bukan sahaja meraikan perayaan, malah turut menyemai nilai-nilai murni dalam komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim, malah turut memperkukuh ikatan persaudaraan dan perpaduan antara semua komuniti. Ia juga menjadi medium penyampaian maklumat serta meningkatkan kesedaran mengenai isu semasa dan dasar kerajaan.
Sebagai contoh, kita turut mengedarkan risalah mengenai Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) serta memberi maklumat mengenai pengagihan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad,” katanya.

Kalbi (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Abdul Azis (tengah) semasa program tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Komuniti MADANI Kampung Mentaritip, Kalbi Jaulan menyifatkan program sebegini sebagai bukti masyarakat kini semakin cakna terhadap pelbagai inisiatif kerajaan.
“Saya berharap kerjasama erat seperti ini dapat diteruskan dengan penglibatan lebih aktif daripada penduduk, khususnya dengan sokongan Jabatan Penerangan Daerah Semporna.
Komuniti MADANI di sini menjadi mata, telinga dan lidah masyarakat dalam menyampaikan serta menjelaskan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah hari raya, persembahan santai serta kehadiran penduduk dari pelbagai latar belakang yang memberikan peluang untuk saling berkenalan dan mengukuhkan jalinan persahabatan dalam suasana yang penuh harmoni.
-RJ-