
Laporan/foto: Manjasari Shamsudin (Sepang)
SEPANG, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, telah menganjurkan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI: Kampung Labu Lanjut yang disempurnakan oleh YB Datuk Borhan Aman Shah, EXCO Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor yang mewakili YAB Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, semalam.

Ucapan perasmian Majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani oleh YB Datuk Borhan Aman Shah, EXCO Perumahan & Kebudayaan Negeri Selangor
Kampung Labu Lanjut merupakan salah satu daripada 200 kampung terpilih di seluruh negara bagi pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI 2025. ianya merupakan satu inisiatif berimpak tinggi yang memperkasa pembangunan komuniti dari segi infrastruktur, sosioekonomi dan kualiti pendidikan.

Persembahan silat oleh warga Kampung Labu Lanjut
Menurut Ketua Pengarah AKM Datuk Dr. Roslan Hussin selaku penganjur utama, program yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI ini direka bukan sekadar untuk menyalurkan pembangunan fizikal infrastruktur seperti jalan, lampu dan capaian internet, tetapi turut menumpukan kepada intervensi sosial dan penyelarasan bantuan rakyat seperti SARA, pendidikan kanak-kanak tercicir dan program pembangunan komuniti.
“AKM percaya bahawa membina negara bermula dari membina semula komuniti. Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI ini adalah pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memperkasakan struktur fizikal, tetapi memperkukuh struktur sosial,” ujarnya.
YB Datuk Borhan Aman Shah pula menegaskan bahawa kejayaan ekonomi Selangor yang mencatat sumbangan tertinggi kepada KDNK negara pada tahun 2023 sebanyak 25.9% (RM406.1 bilion) turut bergantung kepada kekuatan dan daya tahan komuniti desa.
Antara aktiviti menarik sepanjang berlangsungnya program ini bermula jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang ialah Pameran Agensi Kerajaan, Jualan Rahmah, Pemeriksaan Saringan Kesihatan Percuma, Kuiz Interaktif Kenegaraan, Forum MADANI dan Jamuan Hari Raya Aildilfitri.
Pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI merupakan manifestasi tekad kerajaan MADANI untuk memastikan tiada komuniti tertinggal dalam arus pembangunan negara, dengan pendekatan 1 Pemimpin 1 Kampung di mana pemimpin negara, termasuk Ketua Perkhidmatan mana-mana agensi memilih kampung asal mereka untuk dijadikan kampung angkat.
-AA-