
Laporan/foto: Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 11 Apr (Malaysiaaktif) – Hujan lebat yang berterusan sejak tengah malam tadi sehingga pagi ini telah menyebabkan paras air Sungai Klang melimpah, sekali gus mencetuskan kejadian banjir yang menjejaskan beberapa kawasan penempatan di sekitar Padang Jawa, di sini hari ini.

Sekitar jalan yang dinaiki air banjir.
Seorang penduduk, Ramesh Subramaniam, 60, yang mengusahakan sebuah kedai runcit, memaklumkan bahawa air mula naik secara perlahan sejak awal pagi.
“Sebahagian barangan di kedai sempat diselamatkan, namun ada juga yang mengalami kerosakan akibat banjir ini, saya mohon pihak berkuasa tempatan (PBT) agar segera mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Muhd Adib Najib, 32, turut berkongsi pengalaman cemas apabila air naik secara mendadak sekitar pukul 6.00 pagi.
“Saya baru bangun tidur ketika air mula memasuki rumah, hanya dokumen penting sahaja sempat saya selamatkan namun barangan lain tidak dapat diselamatkan.

Keadaan Surau Nurul Iman di Padang Jawa yang dinaiki air.
“Apa yang lebih merisaukan, ini bukan kali pertama kejadian seperti ini berlaku di kawasan kami,” katanya.
Beberapa agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah digerakkan ke lokasi untuk memberikan bantuan dan memantau keadaan.
Penduduk berharap agar langkah penyelesaian yang menyeluruh dapat dilaksanakan segera bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terpelihara.
-ZS-