
Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)
KOTA TINGGI, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Taman Sayong Indah diserikan dengan limpahan cahaya dan semangat kejiranan apabila penduduknya berganding bahu menjayakan Pertandingan Pencahayaan dan Dekorasi Aidilfitri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Zon 12 Bandar Tenggara, di sini kelmarin.

Buluh dijadikan pelita di Lorong Molek Dua.
Pertandingan tahunan yang melibatkan semua penduduk dari lapan lorong dalam taman perumahan itu telah menjadi acara tradisi tahunan sejak 10 tahun yang lalu.
Tahun ini menyaksikan penyertaan yang lebih meriah apabila setiap lorong dihiasi dengan pelita, lampu warna-warni serta pelbagai elemen kreatif bertemakan sambutan Aidilfitri.
Menurut Pengerusi KRT Taman Sayong Indah Rusdi Sadat, 49, pertandingan ini pertandingan ini lebih bermakna daripada sekadar merebut hadiah tetapi lebih kepada nilai perpaduan dan kerjasama antara penduduk
“Modal yang dikeluarkan oleh para penduduk bukan sedikit berbanding nilai hadiah yang akan dimenangi namun kemahuan mereka dalam menceriakan kawasan wajar dipuji,” katanya.

Lampu-lampu menghiasi lorong di taman perumahan tersebut.
Program yang bermula sedekad lalu kini turut menarik pengunjung dari luar yang singgah semata-mata untuk bergambar sekali gus menjadikan taman ini sebagai satu destinasi unik ketika Aidilfitri.
Dalam pertandingan tersebut, Lorong Molek Dua dinobatkan sebagai juara, diikuti Lorong Molek Empat sebagai Naib Johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Lorong Molek Tiga.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dengan semangat perpaduan dan komitmen bersama, komuniti setempat mampu mencipta suasana harmoni dan penuh keceriaan sejajar dengan semangat Aidilfitri yang sebenar.
-ZS-