
Laporan/foto: Affifa Aroff Nizam/Zairul Afendi Abdul Pantas (Perak Tengah)
PASIR SALAK, 10 Apr (MalaysiaAktif) â Projek penanaman cendawan kubis bunga (lionâs mane mushroom) yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Baru Seberang Perak dengan sokongan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Bandar Baru kini mendapat sambutan positif penduduk setempat, di sini.
Menurut pengusaha Noor Fathiah Meor Aris, 38, projek ini dibangunkan melalui dana Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) dan menggunakan Rumah Cendawan Pintar Modular berkapasiti 500 bongkah.

Bongkah cendawan kobis bunga dalam Rumah Cendawan Pintar Modular.
“Cendawan ini terkenal dengan manfaat kesihatan, terutamanya untuk merangsang sistem saraf, mengurangkan risiko Alzheimer, strok dan demensia serta meningkatkan fungsi kognitif dan kekuatan otot.
Tambah Noor Fathiah, projek ini menggunakan teknologi tanaman jenis fastcome, membolehkan hasil dituai dalam tempoh 11 hingga 13 hari.
“Namun begitu, pemasaran berasaskan IoT (Internet Pelbagai Benda) masih menjadi cabaran utama bagi meluaskan capaian jualan.
“Hasil setiap bongkah mampu mencecah 150 gram dan dijual pada harga RM70 sekilogram manakala, jualan runcit sebekas mengandungi dua kuntum dijual pada harga RM10.
Menurut beliau lagi, masakan berasaskan cendawan ini sangat pelbagai dan semakin mendapat tempat di hati pengguna.

Rumah Cendawan Pintar Modular.
“Walau bagaimanapun, isu suhu panas masih menjadi halangan utama kerana cendawan kubis bunga biasanya tumbuh dalam habitat yang mempunyai kelembapan udara yang tinggi, iaitu sekitar 70 hingga 95 peratus dan suhu rendah antara 24°C hingga 28.
“Jangka hayat cendawan hanya seminggu dalam peti sejuk dan dua jam di luar. Oleh itu, penggunaan mesin pengering amat diperlukan bagi tujuan penyimpanan jangka panjang,” ujarnya ketika ditemui kelmarin.
Inovasi mesin dan sistem rumah cendawan ini turut dibangunkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang seiring dengan visi projek untuk memperkenalkan pelbagai jenis cendawan menerusi teknologi moden.
-ZS-