Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Dari Kopi Kampung ke Kopi Opu

By 10 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SHAH ALAM, 28 Apr (MalaysiaAktif) – Dulu hanya membuka gerai kopi kampung di rumahnya tetapi dengan keberanian dan semangat untuk maju, seorang suri rumah berjaya membina jenama kopi premium miliknya sendiri.

Kartinie Ramli, 43, pengusaha Kopi Opu membuktikan dengan pembelajaran melalui media sosial kini beliau mampu membuka kiosk di Dataran Shah Alam, Seksyen 14 yang menyajikan kopi premium serta hidangan lempeng dan roti bakar.

Rasa kopi premium dengan pelbagai variasi menjadikan Kopi OPU sesuai untuk penggemar kopi yang inginkan suasana santai di waktu malam.

“Sebelum ini, saya mengusahakan kopi kampung namun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya dan suami mendapat idea untuk menghasilkan kopi pelbagai variasi yang menjadi trend generasi kini.

“Kami belajar melalui media sosial dan membeli mesin kopi pertama melalui wang simpanan, sebulan saya menghidangkan kopi secara percuma kepada jiran-jiran untuk mendapat maklum balas daripada mereka,” katanya.

Selepas setahun beroperasi di rumah dan mendapat reaksi positif dari pelanggan, Kartinie nekad melangkah lebih jauh dengan membuka kiosk Kopi OPU bermula Ogos 2023.

Kartinie turut bersyukur dapat bimbingan melalui Program Latihan Usahawan Selangor (U-PLATS Digital Siri 2) sejak September 2023 yang membuka banyak pintu rezeki buatnya.

Pemandangan indah bandar raya Shah Alam di waktu malam menjadi tarikan pengunjung menikmati Kopi Opu di Dataran Shah Alam.

“Saya tiada asas berniaga, melalui PLATS saya belajar latihan keusahawanan, pemasaran digital dan saya juga menerima sistem point-of-sale (POS) beserta talian Internet serta simkad secara percuma,” katanya yang ditemui di kiosk Kopi OPU di Dataran Shah Alam, semalam.

Tambahnya lagi, melalui PLATS juga, beliau berpeluang untuk membuat pinjaman melalui Yayasan Hijrah Selangor tanpa dikenakan faedah dibawah program PLATS Biaya serta berpeluang menyertai jualan di tapak pameran secara percuma yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kini, impian Kartinie tidak terhenti di sini, beliau berharap suatu hari nanti dapat membuka francais Kopi OPU di serata tempat agar jenama hasil air tangannya lebih dikenali.

-ZS-

Tinggalkan komen anda