
Laporan/Foto: Connie Lee (Sarawak)
LUNDU, 16 April (MalaysiaAktif) – Menyedari pentingnya memupuk budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat, satu program gotong-royong telah dianjurkan melibatkan 12 lokasi P-turn di sepanjang laluan Pan Borneo Highway antara Lundu dan Sematan. Program ini merupakan hasil kolaborasi antara Majlis Daerah Lundu dan Pustaka Negeri Sarawak.

Sukarelawan yang hadir dan turut serta menjayakan program hari ini.
Satu taklimat ringkas berkaitan keselamatan serta objektif utama program kebersihan telah diadakan di perkarangan Majlis Daerah Lundu semalam, sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Lundu sebagai sebuah “Tourism City” yang bersih dan selamat untuk dikunjungi.
Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Pegawai Daerah Lundu, Awang Yusof Awang Mustapha, yang menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam menjaga kebersihan dan keselamatan persekitaran.
“Semoga dengan apa yang kita lakukan bersama hari ini dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk bersama-sama menjaga kebersihan demi mencapai matlamat utama kita sebagai Tourism City,” katanya ketika menyampaikan ucapan.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim, serta wakil daripada Pustaka Negeri Sarawak, Franklin Giman, yang menunjukkan sokongan terhadap inisiatif tersebut.
-RJ-