Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Gusti Lengan: Bukan Sekadar Kekuatan, Tapi Juga Sukan Strategi dan Teknik

By 20 minutes yang laluTiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Dexter Cysonned Ibrahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 17 Apr (MalaysiaAktif) – Kejayaan dalam sukan gusti lengan bukan hanya bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata, tetapi juga pada kebijaksanaan dan teknik yang digunakan semasa bertanding. Hal ini dikongsi oleh Michael Ford, seorang atlet gusti lengan yang berasal dari Sabah, yang baru-baru ini mencatatkan kejayaan besar dengan menjuarai Kejohanan Gusti Lengan Arnold Classic dalam kategori super heavyweight di Amerika Syarikat pada 28 Februari lalu.

Michael (kiri) dan Calveen (kanan) ketika sesi temubual dalam program TeaTalk@JAPEN bersama Pegawai Penerangan, Razif Che Hashim.

Dalam sesi temu bual yang diadakan semalam sempena program TeaTalk@JAPEN bersama Razif, Michael (kiri) dan rakan atlet, Calveen (kanan), berkongsi pengalaman dan rahsia kejayaan mereka. Menurut Michael, sukan gusti lengan ini tidak bersifat eksklusif, malah terbuka kepada sesiapa sahaja yang mempunyai semangat juang tinggi dan berjiwa besar. Ia memberikan peluang kepada individu untuk mencipta kejayaan, sama ada untuk memenuhi minat peribadi atau bahkan menjadi seorang atlet profesional.

“Walaupun kelihatan seperti sukan yang memerlukan kekuatan fizikal yang luar biasa, teknik dan kebijaksanaan dalam bertanding adalah kunci untuk meraih kemenangan,” jelas Michael. Beliau turut menegaskan bahawa sukan ini bukan hanya untuk golongan tertentu, tetapi lebih kepada mereka yang bersedia untuk mencabar diri dan berusaha keras untuk mencapai kejayaan.

Dengan kecemerlangan yang dicapai, Michael menjadi contoh inspirasi kepada mereka yang berminat dalam sukan gusti lengan dan mengingatkan bahawa kejayaan dalam bidang ini memerlukan gabungan kekuatan mental, fizikal, dan teknik yang betul.

Michael menerima sijil penghargaan daripada Geraldine.

“Ramai anak muda sekarang takut untuk mencuba sukan ini, ada yang beranggapan mereka belum cukup kuat atau belum cukup latihan. Namun, sebenarnya, apabila kita mula menyertai pertandingan, barulah kita dapat mengenal pasti kelemahan diri dan dari situ kita boleh memperbaiki apa yang perlu.

“Saya mahu semua yang berminat dalam gusti lengan untuk mencuba sukan ini terlebih dahulu. Tidak perlu menunggu sehingga mencapai fizikal yang sempurna sebelum bertanding. Mulakan dengan mengikuti latihan dan belajar dari pengalaman yang diperoleh,” katanya ketika ditemubual dalam program Teatalk@JAPEN Siri Khas di sini pada Rabu.

Sementara itu, Michael berkata, beliau juga bermula dengan kosong pengalaman sebelum mencapai kecemerlangan dan kejayaan di peringkat antarabangsa seperti hari ini.

“Saya bermula dari bawah. Pada mulanya, teknik mengangkat dumbbell pun salah. Saya banyak belajar melalui YouTube dengan menonton video atlet profesional seperti Devon Larratt. Lama-kelamaan, saya berlatih sendiri sehingga berjaya mencabar atlet antarabangsa,” kata beliau.

Sementara itu, rakan seperjuangannya dalam sukan gusti lengan, Calveen Petrus, 33, mendedahkan bahawa memiliki tubuh sasa tidak menjamin kemenangan, kerana ia bergantung kepada fokus serta teknik yang digunakan oleh setiap atlet.

Rakan seperjuangan Michael, Calveen juga menerima sijil penghargaan daripada Geraldine.

“Dalam gusti lengan, teknik yang betul lebih penting daripada kekuatan fizikal semata-mata. Teknik yang tepat dapat membantu seorang atlet mengalahkan lawan yang lebih berat. Oleh itu, kejayaan dalam sukan ini bukan hanya bergantung kepada kekuatan tubuh, tetapi juga kemahiran dan strategi.”

“Saya berharap satu hari nanti, gusti lengan akan diterima sebagai salah satu sukan rasmi dalam Sukan Malaysia atau Sukan Asia. Walaupun ia mungkin mengambil masa untuk mencapai Olimpik, saya percaya langkah kecil yang dimulakan dengan sokongan padu daripada semua pihak dapat membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Untuk makluman, Calveen pernah menjuarai Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 di Kuala Lumpur, meraih gelaran juara dalam kategori senior keseluruhan dan senior 105 kilogram.

-RJ-

Tinggalkan komen anda