
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther/Shamsul Bahari Abd Shukor
BUTTERWORTH, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz melancarkan buku H.E.M.A.T.: Aspirasi Menuju Reformasi, sebuah dokumen aspirasi baharu yang mencerminkan hala tuju Perkhidmatan Awam Malaysia dalam mendepani cabaran perkhidmatan awam masa kini, di sini semalam.

Sesi fotografi bersama tetamu kehormat bersama naskah buku H.E.M.A.T.: Aspirasi Menuju Reformasi.
Buku tersebut memperkenalkan nilai HEMAT, singkatan kepada Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi Inovasi dan Telus Tadbiran yang digagaskan sendiri oleh beliau sebagai prinsip utama dalam pembentukan budaya kerja cemerlang dalam kalangan penjawat awam.
Menurut Wan Ahmad Dahlan, penjawat Awam digalakkan untuk membaca buku hasil tulisannya yang berkongsi pengalaman mentadbir pelbagai jabatan kerajaan bagi dijadikan panduan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Saya pernah berkhidmat banyak di jabatan yang berurusan langsung dengan rakyat seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai lagi jabatan yang menawarkan perkhidmatan di kaunter.

Wan Ahmad Dahlan menyerahkan naskah H.E.M.A.T.: Aspirasi Menuju Reformasi kepada Zulkifli Long, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
“Jadi daripada situ saya melihat perlu ada satu anjakan yang perlu dilakukan oleh penjawat awam dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat terutama mereka yang memerlukan perkhidmatan dari segi dokumen, sijil kelahiran, passport, lesen memandu dan sebagainya,” katanya.
Program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara ini turut menyaksikan pengisian Bicara Aspirasi HEMAT Zon Utara yang disertai kira-kira 1,500 penjawat awam dari Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis.
-ZS-