
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan/Nur Syafiq Kamaruzaman (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 21 Apr (MalaysiaAktif) – Walaupun hujan lebat, Namun hampir 3,000 orang pengunjung pelbagai kaum tidak berganjak dari membanjiri Dataran Kuala Pilah, bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan 2025, malam kelmarin.

Hujan tidak menghalang orang ramai membanjiri Dataran Kuala Pilah.
Pelbagai juadah disediakan oleh pihak penganjur untuk dinikmati oleh pengunjung-pengunjung yang hadir.
Antara menu yang tersedia ialah sate, nasi himpit, kuah kacang, kuih muih tradisional, apam balik mini, nasi beriyani dan kambing golek.
“Saya datang bersama keluarga dari Juasseh, semata-mata ingin menimati suasana rumah terbuka yang dibuat secara besar-besaran, sambil menimati juadah kambing golek yang menjadi kegemaran kami sekeluarga,” kata salah seorang pengunjung Mohd Zuhairi Sabirin, 47, ketika ditemui.

DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berangkat mencemar duli hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Sembilan.
Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berangkat mencemar duli hadir ke majlis ini.
Berangkat hadir YAM Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, YAM Tunku Zain Al-‘Abidin ibni Tuanku Muhriz, Undang Luak Jelebu YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Hj. Mat Rashad, Undang Luak Johol YTM Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah, Tunku Besar Tampin YTM Tunku Syed Rahman Tunku Syed Idris Al-Qadri.
Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Majlis juga turut diserikan dengan persembahan oleh Haziq Rosebi dan Ramlah Ram yang diiringi Kombo Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Sembilan dan penari-penari JKKN.
-ZS-