Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Hasnah, Pewaris Rempah Warisan Terus Menyemai Tradisi Lama

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 23 April (MalaysiaAktif) – Di sebalik aroma harum rempah tersembunyi sebuah kisah ketabahan, cinta pada warisan dan semangat seorang wanita luar biasa yang tak pernah gentar mempertahankan legasi keluarga.

Dihasilkan secara manual bagi memastikan keaslian dan tradisi rempah ratus masih dikekalkan hingga sekarang

Hasnah Muda, seorang ibu tunggal dan warga emas berasal dari Bukit Tumbuh, Seberang Takir gigih meneruskan pembuatan rempah ratus tradisional yang diwarisi sejak turun-temurun. Pengusaha Rempah Warisan Mak Teh Kah, bukan sekadar tentang rasa tetapi juga simbol perjuangan dan warisan budaya yang semakin dilupakan.

Hasnah Muda mengharapkan ada pihak yang sudi menyumbang peralatan bagi meneruskan perniagaan rempah di masa hadapan

“Pembuatan rempah ratus bukan sekadar perniagaan keluarga tetapi merupakan satu usaha untuk mengekalkan khazanah masakan tradisional Melayu yang semakin dilupakan. Saya tak mahu ilmu ini terkubur dan berharap generasi muda dapat mempelajari proses pembuatan rempah.

“Saya belajar proses pembuatan bermula dari pemilihan bahan mentah, campuran rempah, hingga proses kisaran yang dilakukan dengan penuh teliti mengikut resipi asal yang diwariskan oleh ibu dan nenek. Semuanya dihasilkan secara manual, demi menjaga keaslian rasa dan aroma yang memikat,” katanya ketika ditemu bual MalaysiaAktif, di sini kelmarin.

Antara rempah hasil tangan Hasnah termasuk rempah kari, rendang, masak hitam, tumis darat dan gulai, semuanya mengekalkan rasa autentik warisan nenek moyang.

Walaupun permintaan meningkat, beliau tetap memilih kaedah tradisional, menggiling secara manual atau dihantar ke kedai jika dalam jumlah besar.

Hasnah berharap ada pihak yang sudi menyumbang mesin pengisar bagi memudahkan kerja tanpa menjejaskan nilai tradisi.

Baginya, setiap campuran rempah bukan sekadar rasa, tetapi ilmu dan sejarah yang wajar diwarisi oleh generasi muda.

-AA-

Tinggalkan komen anda