
Laporan/foto: Surina Simat (Maran)
MARAN, 22 Apr (MalaysiaAktif) – Hencang Buah Keras merupakan satu permainan tradisional yang semakin jarang dimainkan, malah mungkin ada yang tidak pernah mengetahuinya.

Peralatan yang digunakan dalam permainan Hencang Buah Keras.
Sejarah awal permainan ini dimainkan di istana dengan diiring oleh tarian gamelan serta silat namun kemudian tersebar dalam kalangan rakyat biasa di Chenor, Pekan dan Bera.
Menurut pemain hencang buah keras Wan Ridzuan Wan Ibrahim, 45, permainan ini dimulai dengan pemilihan buah keras oleh dua orang pemain sebelum proses undian dilakukan bagi menentukan kedudukan buah keras samada di bahagian atas ataupun bawah.
“Kedua-dua buah keras ini akan dimasukkan dalam pengapit dan kemudian dimulai dengan langkah silat, pengapit tersebut akan dihentak menggunakan kekuatan kaki dan tumit.

Pemain Hencang Buah Keras semasa Kembara Pahang 1.0 di Rumah Warisan Chenor.
“Penentuan pemenang akan dilihat melalui buah keras yang pecah, jika buah keras di bahagian atas pecah, ianya dipanggil ‘menyambut’ dan sebaliknya jika buah keras di bahagian bawah yang pecah, ianya akan dipanggil ‘menyelam’,” katanya, di sini semalam.
Unsur seni dan budaya yang tinggi dapat dilihat melalui gerak tari silat mencerminkan kekayaan warisan budaya negeri Pahang yang harus dipertahankan.
Permainan Hencang Buah Keras ini merupakan salah satu acara yang dipersembahkan oleh rakyat Chenor ketika program Kembara Pahang 1.0 Kebawah Duli Sultan Pahang di Rumah Warisan Chenor yang menjadi salah satu persinggahan baginda pada hari pertama.
-ZS-