Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

Hutan Bandar Kuala Krai: Nafas Hijau di Tengah Bandar

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Aula Nik Soh

KUALA KRAI, 18 Apr (MalaysiaAktif) – Siapa sangka di tengah-tengah kesibukan bandar Kuala Krai tersembunyi sebuah ruang hijau yang kian menjadi tumpuan penduduk tempatan, Hutan Bandar Kuala Krai.

Dikelilingi bangunan dan jalan raya, kawasan ini bagaikan ‘paru-paru hijau’ bandar yang menyajikan ketenangan semula jadi kepada mereka yang dahagakan udara segar dan suasana damai.

Trek berjalan kaki dan larian Taman Hutan Bandar – Tasik Kuala Krai.

Ruang rekreasi ini bukan sahaja menawarkan keindahan landskap yang memukau, tetapi juga menghidupkan semangat komuniti.

Setiap petang, laluan pejalan kaki dipenuhi dengan warga emas yang bersenam ringan, ibu bapa yang membawa anak bermain di taman permainan, serta pelajar yang duduk berbincang di pondok rehat yang disediakan.

Suasana mesra dan santai menjadikan tempat ini seakan-akan taman belakang rumah bagi warga Kuala Krai.

Inisiatif ini lahir hasil kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, yang mahu memperluaskan zon hijau di kawasan bandar sambil menyemai kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Menurut wakil Jabatan Perhutanan negeri Azizi Hussein, 50, kawasan ini juga menjadi lokasi pembelajaran luar kelas yang semakin popular.

“Kami mahu ia menjadi lebih daripada sekadar tempat rekreasi.

“Ia juga pusat pendidikan alam semula jadi, terbuka untuk pelajar dan masyarakat umum,” jelasnya semalam sambil menunjukkan papan maklumat flora dan fauna yang terdapat di sepanjang laluan.

Usaha menanam pelbagai spesies pokok tempatan bukan sahaja menghijaukan kawasan, malah menarik kehadiran burung, rama-rama dan serangga yang menghidupkan lagi ekosistem bandar ini. Ia bukti bahawa dengan perancangan yang bijak, alam dan pembangunan boleh bergerak seiring.

Azizi Hussein.

Aisyah Mat Zin, 30, seorang ibu muda yang sering membawa anaknya beriadah di sini, menyifatkan kawasan ini sebagai tempat ‘lari seketika daripada rutin harian’.

“Dekat dengan rumah, selamat, anak-anak dapat kenal pokok dan serangga secara langsung. Tak perlu ke hutan jauh,” katanya sambil tersenyum.

Namun, di sebalik sambutan positif, pihak berkuasa tidak lupa memberi peringatan tentang pentingnya penyelenggaraan dan rasa tanggungjawab bersama.

Mereka menyeru masyarakat agar sama-sama menjaga kebersihan dan kemudahan yang ada supaya kawasan ini kekal indah untuk generasi akan datang.

Hutan Bandar Kuala Krai kini menjadi simbol kehijauan yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjayakan agenda pembangunan mampan dan pemuliharaan alam sekitar di Kelantan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda