
Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 29 Apr (MalaysiaAktif) – Peranan ibu sebagai tunjang keluarga dan agen perubahan masyarakat terus diperkasa menerusi Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) yang berlangsung meriah di pekarangan Pusat Sumber, Telaga Daing, di sini kelmarin.
Program anjuran bersama komuniti setempat ini menghimpunkan seramai 60 peserta yang terdiri daripada golongan ibu yang penuh semangat dan komited untuk memperkukuh peranan mereka dalam pelbagai aspek kehidupan.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Duyong memastikan pengisian program dapat dimanfaatkan oleh golongan ibu.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Duyong Mohd Hasli Mat Ali @ Mohd Zain, berkata Program JIWA bukan sekadar platform perkongsian ilmu dan pengalaman, malah medan memperkasa emosi, mental dan sosial golongan ibu.
“Program ini dirangka bagi membangkitkan semangat kekeluargaan dan memperkasa ibu-ibu dengan pelbagai aktiviti bermakna.
“Ia menjadi ruang untuk mereka berkongsi aspirasi, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh kesejahteraan keluarga,” katanya.
Bagi Rubaitum Mohd Noor, 66, peluang menyertai program ini memberi nafas baru dalam kehidupannya sebagai ibu.

Rubaitum, mengharapkan program seperti ini dilaksanakan secara berkala khususnya bagi golongan ibu di daerah ini.
“Sepanjang program, saya berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti yang membina kemahiran, meningkatkan motivasi dan memberikan inspirasi baharu.
“Ia amat membantu, khususnya kepada ibu-ibu yang mungkin berdepan tekanan dalam kehidupan harian,” luahnya penuh teruja.
Tambahnya lagi, Program JIWA berjaya mewujudkan ikatan yang lebih erat dalam komuniti, selain memberi ruang kepada ibu-ibu untuk terus menyumbang secara aktif kepada masyarakat.
Program JIWA adalah inisiatif berterusan Jabatan Penerangan (JaPen) dalam usaha memperkasa wanita di peringkat akar umbi, selaras dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat yang lebih progresif, sejahtera dan inklusif.
-ZS-