Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Insiden Putra Heights: 270 Rumah Disahkan Selamat Diduduki

By 4 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)

SUBANG JAYA, 9 Apr (MalaysiaAktif) – Sebanyak 270 daripada 437 rumah yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights disahkan selamat diduduki setakat semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, berkata pertambahan 119 rumah yang diisyitiharkan selamat diduduki berbanding 151 rumah yang diumumkan kelmarin adalah hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian berkaitan insiden Putra Heights di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini semalam.

Sementara itu, Hussein turut mengesahkan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kehilangan harta benda susulan insiden saluran paip gas di Putra Heights.

“Pihak polis di Selangor setakat ini tidak menerima sebarang laporan yang mengatakan ada barang-barang mangsa yang hilang.

“Saya telah meletakkan seramai 120 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi kawalan keselamatan di kawasan terjejas secara 24 jam,” katanya.

Beliau turut mengulas mengenai dakwaan yang tular di media sosial kononnya pihak polis cuba menyembunyikan kematian dalam kejadian paip gas pecah di Subang Jaya adalah tidak berasas sama sekali.

“Pihak polis tidak ada manfaat untuk menyorok sebarang kematian, jika ada mana-mana ahli keluarga, kawan yang kata ada kematian, tampil ke balai untuk buat laporan polis,” tegasnya.

Justeru, beliau turut mengingatkan orang ramai khususnya netizen agar tidak membuat tuduhan tidak berasas kerana ia boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda